skbp.zoom-a.com

SEKOLAH KEBANGSAAN BERIS PANCHOR
16320 BACHOK, KELANTAN.
 Tel : 09 7767461, Faks : 09 7766160
e-mel : skbpanchor@yahoo.com
skkbpnco@streamyx.com / skbp@zoom-a.com
JOM MASUK KELAS
. 


Laman SKBP
Aluan GB
Maklumat Guru
Falsafah
Visi & Misi
Piagam
Panorama
Lagu Sekolah
Logo Sekolah
Sejarah Sekolah
Hari Jadi Cikgu
UPSR
Isu Hangat
Info ICT
5A 2007
Kalendar 2008
Kelepasan Am
KoKurikulum
Jumlah Murid
Pengurusan Sek.
Kurikulum
Hal Ehwal Murid
AJK Panitia
Lawatan KSU
Asrama Kami
Bilik Akses
Pemulihan
I P T A
Berita 2008
Berita 2007
Berita 2006
Jenaka
Lokasi Kami
Tema Hari Guru
Buku Pelawat

Kes keracunan yang pertama kali berlaku di SK Beris Panchor telah mendapat liputan meluas pihak media dan menjadi tajuk utama Siaran Berita TV3(6 Ogos). NTV7, Sinar Harian dan Berita Harian turut membuat laporan yang sama.

Difahamkan seramai 81 orang murid yang muntah-muntah, pening dan sakit perut. Mereka semua telah dikejarkan ke Klinik Daerah Beris Panchor pada pukul 9.45 pagi.

Kejadian berpunca sebaik sahaja murid-murid sekolah meminum susu yang dibekalkan melalui Projek Susu Sekolah. Kejadian berlaku sebelum waktu rehat.

Petikan Utusan Malaysia 08 OGOS 2007 Dalam Negeri

Agihan susu bantuan di Kelantan dihenti serta-merta

Oleh ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU 7 Ogos – Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan mengarahkan semua sekolah rendah di negeri menghentikan serta-merta pengagihan susu kotak kepada semua murid berikutan kes keracunan makanan yang dialami murid Sekolah Kebangsaan (SK) Beris Panchor, semalam.

Pengarahnya, Ismail Md. Noor berkata, pengagihan semula kepada murid miskin yang menerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) itu hanya akan diteruskan selepas mendapat perakuan daripada Jabatan Kesihatan negeri kelak.

Namun katanya, susu yang dikaitkan dengan kes berkenaan didapati masih belum tamat tarikh luput manakala tempat penyimpanan minuman yang diterima daripada pembekal itu didapati dalam keadaan bersih.

“Apa-apa tindakan termasuk pengagihan susu dari jenama ‘Jo Cerdik’ ini boleh diteruskan atau tidak, hanya akan ditentukan selepas kita mendapat laporan Jabatan Kesihatan dan mengemukakannya kepada Kementerian Pelajaran,” ujarnya semasa melawat Sekolah Kebangsaan Sering dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas berhubung 74 murid SK Beris Panchor Bachok yang mengadu sakit perut dan muntah selepas minum susu tersebut semasa sarapan di kantin sekolah pagi semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 57 murid tahun 1, 4, 5 dan 6 itu dikejarkan ke Klinik Kesihatan Beris Panchor untuk mendapatkan rawatan.

Sehubungan itu juga, beliau mengarahkan pihak pentadbiran sekolah sekolah rendah di negeri mengagihkan susu kepada murid mengikut prosedur yang ditetapkan oleh kementerian.

“Ini termasuk mengagihkan minuman itu selepas murid menjamah makanan semasa sarapan pagi kerana ini memberi kesan kepada mereka, di samping mengikut hari-hari yang ditetapkan oleh JPN.

“Susu berkenaan sepatutnya diagihkan kepada semua murid yang mendapat bantuan RMT setiap hari atau tiga kali seminggu ketika mereka bersarapan.

“Saya berharap kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi apabila pengagihan susu berkenaan diteruskan kerana ini merupakan program yang diperuntukkan oleh kementerian,” katanya

Beliau berkata, sebelum pengagihan dibuat JPN sudah mengadakan taklimat kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) supaya mereka mematuhi peraturan 100 peratus untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Dalam Negeri

 ‘Kotak susu bantuan kembung, meletup’

 ALOR STAR 7 Ogos – Memeranjatkan! Bekalan susu bantuan yang dihantar oleh pembekal ke sekolah-sekolah di negeri ini dilaporkan mengalami pelbagai masalah meskipun mendapat pengesahan kualiti daripada SIRIM Berhad. Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Pelajaran Negeri, Misrah Ibrahim yang mendapat laporan daripada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan beberapa guru besar sekolah-sekolah terlibat hari ini. Menurutnya, tidak kurang daripada enam sekolah di sekitar negeri ini mengadu mengalami masalah dengan susu-susu yang dibekalkan itu. Lebih mengejutkan, ada laporan yang mengatakan kotak susu bantuan berkenaan ‘meletup’ ketika berada dalam simpanan pihak sekolah sebelum diagihkan kepada para pelajar. Misrah memberitahu, kejadian itu berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tiong, Kulim dekat sini. Guru Besar SK Lanai dan SK Muhamad Arif Abdullah di Baling serta SK Tandop Besar, Kuala Nerang pula katanya, mengadu kotak-kotak susu bantuan yang dibekalkan itu kembung. Tambahnya, bekalan susu bantuan SK Alor Besar, Pendang pula dilaporkan sudah masam manakala kotak-kotak susu di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Ching di Tanjung Dawai pula tidak mempunyai tarikh luput. Selamat “Keadaan ini amat memeranjatkan kerana susu-susu yang dibekalkan itu datang dengan sijil SIRIM yang diyakini akan selamat untuk diminum. “Kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku lagi selepas bekalan susu bantuan ke sekolah di seluruh negara dihentikan sementara baru-baru ini bagi memastikan kualitinya terjamin,’’ tegasnya. Akibat masalah-masalah tersebut, beliau berkata, guru-guru besar berkenaan tidak membekalkan susu kepada murid-murid bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Beliau bercakap kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini bagi mendapat ulasan mengenai kes keracunan makanan membabitkan 67 murid SK Seberang Ketil, Kupang dekat sini yang dipercayai akibat meminum susu bantuan di sekolah itu semalam. Program susu bantuan yang bermula sejak 1983 terpaksa dihentikan kira-kira empat bulan lalu berikutan empat kes keracunan susu di seluruh negara dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Bagaimanapun ia disambung semula pada pertengahan bulan lalu apabila mendapat jaminan piawaian kualiti dan keselamatan daripada SIRIM. Misrah berkata, selain kes di SK Seberang Ketil, seramai tujuh murid dan tiga guru di SK Bukit Tampoi, di sini juga mengalami cirit-birit selepas meminum susu berkenaan semalam. Katanya, pembekalan susu-susu berkenaan di seluruh negeri ini adalah daripada pembekal dan sumber yang sama. Ekoran kejadian-kejadian berkenaan, jelasnya, Jabatan Pelajaran Kedah menangguhkan sementara pemberian susu bantuan itu di seluruh negeri bermula hari ini bagi mengelak sebarang risiko dan membolehkan siasatan lanjut mengenainya dilakukan. Katanya, sampel susu berkenaan juga sedang dianalisis oleh Jabatan Kesihatan Kedah untuk memastikan kandungan susu itu selamat diminum pelajar sekolah.

Petikan Berita Harian 08 OGOS 2007

KANGAR: Kerajaan akan meningkatkan pemantauan terhadap kebersihan makanan di semua sekolah seluruh negara berikutan meningkatnya jumlah kes keracunan, terutama membabitkan program susu sekolah, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Pada masa sama, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan menggantung serta-merta Program Susu Sekolah di seluruh negeri, manakala kerajaan negeri Kedah menyarankan skim berkenaan dihentikan dan semua sistem pesanan daripada pembekal dikaji semula.

Kejadian terbaru kelmarin membabitkan 60 murid Sekolah Kebangsaan Seberang Ketil (SKSK), Kedah dan 57 murid Sekolah Kebangsaan Beris Panchor (SKBP), Kelantan yang dikatakan mengalami keracunan selepas meminum susu dibekalkan kerajaan.

Hishammuddin yang ditemui di Istana Arau di sini, berkata, beliau sudah mengarahkan timbalannya, Datuk Hon Choon Kim menyiasat perkara itu selain meningkatkan pemantauan terhadap kebersihan kantin dan makanan dibekalkan di sekolah.

Di KOTA BHARU: Pengarah JPN Kelantan, Ismail Mohd Nor, berkata tempoh penggantungan agihan susu untuk 103,000 murid miskin itu dibuat sehingga siasatan punca keracunan minuman dalam kotak itu selesai.

Katanya, tindakan diambil berikutan kejadian menimpa 57 murid SKBP, Tawang, Bachok yang mengalami keracunan selepas meminum susu diagihkan ketika sarapan di sekolah itu.

“Arahan penggantungan ini membabitkan 412 sekolah kebangsaan di negeri ini, termasuk yang sudah menerima bekalan susu kotak itu.

“Kami tidak mahu murid miskin menjadi penerima bantuan susu itu terdedah dengan kes keracunan sama. Susu kotak ini adalah sebahagian daripada program Rancangan Makanan Tambahan (RMT),” katanya.

Timbalan Pengarah Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan negeri, Dr Lila P Mohd Meeran, dilaporkan berkata, agihan susu kotak ‘Jo Cerdik’ itu disambung semula sejak dua hari lalu selepas dibekukan Jun lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati kandungan susu kotak terbabit sudah rosak dan dalam keadaan berketul-ketul.

Pada 22 Mei lalu, Kementerian Pelajaran mengumumkan Program Susu Sekolah bermula pada 1981 dengan peruntukan RM23 juta setahun, dihentikan serta-merta selepas mendapati kira-kira 35 peratus bekalan ke Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Perak, Pahang dan Terengganu dicemari bakteria. Bagaimanapun, Hon kemudian mengumumkan kementerian menyambung semula skim itu pada 16 Julai lalu selepas tiga kilang pembekal susu berkenaan memenuhi piawaian dan pengesahan kualiti daripada Sirim Berhad (Sirim).

Antara 16 Januari hingga 2 Ogos lalu, sebanyak 20 kes keracunan makanan membabitkan pelajar berlaku di Kedah membabitkan lebih 1,000 pelajar. Daripada jumlah itu, tiga kes berpunca daripada susu yang diberikan kepada pelajar.

Dalam Negeri (Petikan Utusan Malaysia-9Ogos 2007)

Keracunan: Program susu bantuan digantung semula

Oleh HASHNAN ABDULLAH

PUTRAJAYA 8 Ogos – Kementerian Pelajaran hari ini menggantung serta-merta pelaksanaan Program Susu Sekolah (PSS) di sekolah-sekolah selepas kes-kes keracunan susu dilaporkan berlaku lagi di Kedah dan Kelantan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Hon Choon Kim berkata, tindakan itu dibuat ekoran berulangnya kes-kes keracunan di kalangan murid selepas meminum susu yang dibekalkan di sekolah masing-masing sejak beberapa hari lalu.

Pelaksanaan PSS baru disambung semula tiga minggu lalu.

‘‘Selepas digantung sekali lagi, PSS hanya akan disambung kembali setelah para pembekal susu yang dilantik menyediakan surat jaminan bahawa susu yang mereka bekalkan ke sekolah-sekolah selamat untuk diminum.

“Kami mahu pembekal memikul tanggungjawab untuk memeriksa keadaan susu di sekolah. Kalau mereka merasakan sekolah tidak ada kemudahan menyimpan susu dengan betul, mereka boleh beritahu kita cara untuk betulkan keadaan,” katanya.

Choon Kim berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Keselamatan, Kualiti Makanan dan Pemakanan Antara Kementerian Pelajaran serta Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Baru-baru ini lebih 100 murid di beberapa buah sekolah di Kedah dan Kelantan dilaporkan mengalami muntah-muntah dan sakit perut selepas meminum susu yang dibekalkan PSS di sekolah masing-masing.

Kementerian Pelajaran telah pun menggantung program tersebut pada 22 Mei dan penggantungannya baru ditarik balik pada 15 Julai lalu.

Namun, keracunan susu sekolah dilaporkan berlaku lagi pada 6 Ogos lalu dengan 60 murid Sekolah Kebangsaan Seberang Ketil, Kupang dekat Alor Star mengalami sakit perut dan muntah-muntah sehingga terpaksa dikejarkan ke klinik selepas minum susu kotak yang disediakan oleh pihak sekolah.

Pada hari yang sama 74 murid Sekolah Kebangsaan Beris Panchor, Bachok turut mengadu sakit perut dan muntah selepas minum susu semasa sarapan di kantin sekolah.

Program PSS membabitkan 560,169 murid di lebih 6,000 buah sekolah di seluruh negara dengan peruntukan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran berjumlah RM23.9 juta setahun.

Setakat ini terdapat enam pembekal dan tiga pengilang terbabit dalam program PSS.

Menurut Choon Kim, stok susu bantuan yang dihantar ke sekolah-sekolah masih di bawah penjagaan dan tanggungjawab pembekal sehinggalah susu terbabit diagihkan kepada murid-murid.

Dalam Negeri

Program Susu Sekolah tidak akan dihentikan terus

KOTA BHARU 8 Ogos – Program Susu Sekolah (PSS) tidak boleh dihentikan terus kerana ia memberi faedah dalam membantu pembesaran mereka terbabit. Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang berkata, walaupun kadang kala timbul masalah keracunan ia tidak harus dijadikan alasan berbuat demikian kerana ia merugikan murid-murid yang memerlukan makanan tambahan. Beliau berkata, apa yang perlu dilakukan kini ialah mengkaji semula setiap prosedur bermula dari pembuatan sehinggalah penyimpanan dan juga kaedah pengagihan kepada murid agar kes keracunan berkait dengan pemberian susu ini tidak terus berulang. Zulkurnain yang meninjau stor simpanan pembekal tunggal susu kotak itu di negeri ini, di sini hari ini tidak menolak kemungkinan susu kotak berkenaan disimpan dalam bilik yang agak panas dan boleh menyebabkan ia tercemar. “Sebahagian daripada bekalan susu ini juga diletak secara bertindan lebih dari tujuh kotak dan ini boleh menyebabkan kotak susu rosak akibat bebanan yang berat,” ujarnya. Dalam pemeriksaan mengejut bersama Pengarah Pelajaran negeri, Ismail Md. Noor, mereka bersama wakil-wakil media turut meminum susu kotak berkenaan bagi meneliti rasanya.

Pemeriksaan itu dilakukan ekoran 74 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Beris Panchor, Bachok dekat sini mengadu sakit perut dan muntah selepas minum susu terbabit semasa bersarapan di kantin sekolah pagi kelmarin.

Pada hari yang sama juga, sebanyak 67 murid SK Seberang Ketil, Baling, Kedah turut mengadu sakit perut dipercayai berpunca daripada susu bantuan yang diagihkan. Ekoran itu, Jabatan Pelajaran negeri Kelantan menghentikan serta merta pengagihan susu itu ke seluruh sekolah di negeri ini dan beberapa pihak termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid mendesak skim bantuan itu dihentikan kerana kejadian yang berulang boleh menimbulkan keresahan ibu bapa. Menurut Zulkurnain, Program Susu Sekolah membawa banyak manfaat dengan membantu perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak dari keluarga miskin yang dikaitkan dengan kekurangan zat makanan. “Memang ada cadangan supaya pengagihan dihentikan tetapi sebelum langkah itu diambil kita kena buat kajian yang teliti. Sejak ia dilaksanakan ramai yang mendapat faedah... yang sakit hanya satu dua sekolah sahaja, sekiranya dihapuskan pelajar ini tidak dapat apa malah mereka akan rugi,” katanya “Jika pemberian susu ini mahu dihentikan kita perlu kaji apa alternatif untuk diberikan kepada pelajar sebagai gantinya,” katanya. Zulkurnain berkata, kira-kira 30 peratus pelajar dari seluruh negara termasuk 104,000 murid sekolah di negeri menerima susu bantuan terbabit. “Sebelum ini kita telah berhenti sementara, selepas SIRIM Berhad dan Kementerian Kesihatan membuat siasatan serta mengesahkan ia selamat kita edarkan semula susu kotak ini,” katanya. Pada 22 Mei lalu, Kementerian Pelajaran mengumumkan skim bantuan yang dimulakan pada tahun 1981 itu dengan peruntukan RM23 juta setahun dihentikan serta-merta selepas mendapati 35 peratus bekalan ke beberapa negeri dicemari bakteria.

TERIMA KASIH, SILA BERKUNJUNG LAGI...

Sekolah Kebangsaan Beris Panchor. 16320 Bachok, Kelantan. Tel: 09 7767461 Fax: 09 7766160.  Pihak Sekolah Kebangsaan Beris Panchor tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. SebarangPertanyaan,SilaEmelkanKepada:muhdropi@streamyx.com.  Untuk Paparan Terbaik Gunakan IE 5.0 dan Ke atas pada Resolusi Skrin 1024 x 768 piksel                                                         

© Hakcipta Terpelihara 2006 - 2008 skbp/zoom-a.  

                                                                           


Zoom A - Program Pembelajaran Secara Interaktif Melalui Internet Yang Tercanggih Di Malaysia

Pelawat: